PENCARIAN DEWI REMAJA KEMBALI!

Scha Al Yahya kini diangkat ke posisi Juri Tetap, bergandingan bersama Yusry
Abdul Halim, manakala personaliti jelita, Amelia Henderson bertindak sebagai
pengemudi program ‘Dewi Remaja 2019’

Kuala Lumpur, 15 Oktober 2019 – ‘Pencarian Dewi Remaja’ kini kembali dengan misi utama
mencari seorang personaliti remaja yang boleh dijadikan contoh terbaik khususnya untuk
generasi muda hari ini. Hadir dengan tema ‘Pesonakan Bintangmu’, Dewi Remaja bukan sahaja
mencari sekumpulan gadis remaja yang memiliki pakej rupa paras dan fizikal yang positif, ia
juga menjadi platform untuk mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti menarik; sekaligus
meneruskan legasi yang dijayakan oleh peserta Dewi Remaja terdahulu.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1985, selepas 34 tahun, Dewi Remaja merupakan satu
jenama yang cukup kukuh dalam industri penerbitan tanah air, yang mana kini turut sama
memeriahkan industri seni negara. Banyak nama-nama hebat dilahirkan dari program
pencarian bakat anjuran Remaja, salah satu jenama di bawah Nu Ideaktiv (sebelum ini dikenali
dengan nama Grup Majalah Karangkraf), dan rata-rata diangkat menjadi ikon kepada ramai di
luar sana. Di antaranya termasuklah Aleeza Kassim (Dewi Remaja 1987/88), seorang model
terkemuka tanah air dan di pentas peragaan jenama-jenama antarabangsa, Scha Al-Yahya
(Dewi Remaja 2005/06) yang kini merupakan pelakon ‘kelas-A’ yang begitu versatil dan popular
serta Noor Neelofa (Dewi Remaja 2009/10) atau lebih dikenali dengan Neelofa, seorang
pengacara, pelakon, model, ahli perniagaan berjaya dan salah seorang dalam kalangan 300
individu yang tersenarai di ‘Forbes 30 Under 30 Asia 2017’.

Bermula dengan kemenangan Tengku Anis Tengku Ismail bagi edisi Dewi Remaja 1985/86
sehinggalah kepada kemenangan Raysha Rizrose bagi edisi Dewi Remaja 2014/2015, telah
2 sembilan Dewi Remaja dimahkotakan. Namun begitu, pada tahun lalu, insiden disiplin dan
kontroversi yang berlaku di kalangan peserta telah menyebabkan Astro selaku penganjur
bersama dan Nu Ideaktiv menarik semula mahkota Dewi Remaja 2018 dari pemenang utama.

Justeru, penganjuran tahun ini adalah untuk mencari semula gadis yang bakal dimahkotakan
seterusnya diangkat sebagai ‘Dewi Remaja 2019’ dan memiliki gelaran tersebut bagi edisi yang
ke-10 ini.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran Dewi Remaja kali ini, Emarina Mohd Kamal selaku
Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama
strategik bersama Nu Ideaktiv yang sudahpun memasuki edisi keempat sejak Pencarian Dewi
Remaja 2009/2010.

“Menyingkap kembali sejarah penganjuran Dewi Remaja edisi pertama lebih tiga dekad yang
lalu, jenama dan legasi Dewi Remaja terbukti telah membawa impak dan sumbangan yang
besar kepada industri hiburan kerana berjaya melahirkan ramai nama-nama besar menerusi
pertandingan ini.

Walaupun terpalit dengan sedikit kontroversi ketika penganjuran Dewi Remaja tahun lalu, ia
tidak mematahkan semangat kami untuk terus mencari pemilik mahkota edisi ke-10 ini.
Pengaruh Dewi Remaja dilihat terus kukuh sebagai platform berprestij untuk mengenal pasti
bakat-bakat besar dengan pakej komersial yang lengkap. Selaku penganjur bersama, usaha
sebegini perlu diberi kredit dan sokongan yang sewajarnya kerana ia memainkan peranan
penting untuk melahirkan lebih ramai pelapis kepada selebriti serba boleh yang sedia ada.
Semoga pencarian edisi ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun terdahulu.”
Menurut Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Remaja, buat pertama kalinya
penganjuran ‘Dewi Remaja’ memperkenalkan kategori ‘Pengetahuan Am’ sebagai salah satu
kriteria pemarkahan peserta.

“Di antara perbezaan ketara yang ditampilkan dalam edisi kali ini adalah dari aspek
pemarkahan juri. Ada 3 segmen utama yang dititikberatkan ketika sesi penjurian peserta. Buat
julung kalinya, kami menyuntik elemen pengetahuan am sebagai salah satu elemen utama
dalam memilih peserta yang disenarai pendek. Kami merasakan, elemen ini penting untuk
membuktikan setiap peserta yang dipilih sebagai finalist memiliki pakej yang menyeluruh,
terutamanya dari aspek personaliti dan latar belakang akademik. Mereka perlu peka dengan
hal-hal semasa yang berlaku baik dalam mahupun luar negara, serta berkebolehan untuk
berkongsi buah fikiran dalam sesuatu isu.

Penilaian bukan sahaja dilihat dari bakat, potensi dan pengetahuan am, malah personaliti dan
cara mereka mempersembahkan diri juga menjadi satu kriteria penting. Justeru, kami di
bahagian produksi meletakkan peratusan berikut untuk sistem pemarkahan juri – 30 peratus
(personaliti), 35 peratus (bakat) dan 35 peratus (pengetahuan am).”

3 Menerima hampir 600 penyertaan (lebih dari jumlah tahun lalu seramai 457 peserta), sesi uji
bakat terbuka yang diadakan selama empat hari pada September lalu di Shah Alam telah
menyaksikan nama-nama hebat industri di posisi juri, seperti pengacara tersohor tanah air,
Datuk Aznil Haji Nawawi, barisan pelakon wanita popular yang sebelum ini turut pernah
menjadi sebahagian dari keluarga Dewi Remaja seperti Rozita Che Wan, Anzalna Nasir,
Ramona Zam Zam dan Dynaz Mokhtar serta penyanyi, pelakon dan pengarah filem hebat,
Yusry Abdul Halim.

Seramai 20 orang calon peserta Dewi Remaja telah terpilih untuk saringan akhir seperti yang
telah diumumkan. Walau bagaimanapun, hanya 12 orang sahaja yang akan memenuhi slot
selaku finalis. Pakej komersial lengkap yang merangkumi latar belakang menarik, persona dan
potensi yang mereka miliki bakal menjadikan penganjuran kali ini sebagai antara edisi paling
menarik untuk diikuti.

*12 finalis ‘Pencarian Dewi Remaja 2019’ yang berjaya diserap masuk adalah ANDRIANNA
FERNANDEZ (19, Kuala Lumpur), SHAZA NURIMAN (24, Kuala Lumpur), NYNAA HARIZAL (23,
Selangor), SHARLINA GILBERT (23, Sabah), MYRA NATASHA (24, Selangor), SYAMIRA IZZATI
(22, Selangor), SAIDAH SYAHIRAH (23, Selangor), ADRIANA GHAFAR (21, Johor), SYAZA AZRA
(19, Negeri Sembilan), SHATIRAH AMANDA (19, Kelantan), NINA AMIN (23, Selangor) dan
AISHAH AZHAN (24, Selangor).

Melalui paparan 8 episod (berdurasi satu jam setiap episod), program ‘Dewi Remaja 2019’
akan menampilkan pemenang Dewi Remaja 2005/2006, Scha Al-Yahya sebagai Juri Tetap. Ini
merupakan kerjasama ketiga berturut-turut di antara Scha dan pihak produksi Remaja, yang
mana dalam dua edisi pertama, Scha menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program,
masing-masing untuk ‘Pencarian Hero Remaja 2017’ dan ‘Pencarian Dewi Remaja 2018’. Scha
akan digandingkan bersama penyanyi, pelakon, produser dan pengarah filem hebat, Yusry
Abdul Halim. Pemilihan Yusry dibuat selepas mengambil kira pengalaman beliau di dalam
pelbagai cabang seni dan kebolehan beliau menggilap bakat-bakat baru untuk menghiasi
persada seni tanah air.

Dalam pada itu, pelakon, pengacara, model dan personaliti jelita, Amelia Henderson dipilih
sebagai pengemudi utama (pengacara) bagi ‘Dewi Remaja 2019’. Pemilihan Amelia dibuat
selepas melihat kepada gaya bersahaja dan kreativiti beliau ketika mengacarakan sesebuah
program atau majlis-majlis rasmi / santai. Bakat beliau turut diiktiraf apabila dipilih sebagai
penerima anugerah Star Model 2019 di majlis Anugerah Festival Model Asia (ke-14) 2019 bagi
kategori Malaysia.

Selain daripada paparan di layar kaca, program pencarian ini turut mendapat liputan
menyeluruh dan terkini melalui laman digital serta sosial media Majalah Remaja. Melalui
paparan video yang menampilkan pengacara digital Safwan Nazri, penonton dan pengikut 4
setiap peserta dapat menonton perjalanan para peserta, juri dan aktiviti yang berlangsung
secara pantas.

Program ‘Dewi Remaja 2019’ akan menemui penonton pada setiap hari Sabtu, jam 9.00
malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 26 Oktober 2019.
Dalam pada itu, penganjuran edisi terbaharu juga turut meraikan kehadiran para penaja yang
akan mewarnai lagi intipati dan cabaran sepanjang berlangsungnya Dewi Remaja 2019. Kami
membuka pintu seluasnya kepada jenama telekomunikasi redONE yang hadir sebagai Rakan
Telekomunikasi Rasmi. Selain itu, program ini turut diserikan oleh NUViT, selaku Penaja
Bersama.

Bagi mengikuti info terbaru mengenai program Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 pula,
kunjungi laman web www.remaja.my/dewi, Facebook [dewiremaja] dan Instagram
[majalahremaja].

Hashtag :
#majalahremaja
#dewiremaja2019
#dewiremaja
#remaja

-TAMAT-

LEGASI PENCARIAN DEWI REMAJA
Tengku Anis Tengku Ismail (Dewi Remaja 1985/86)
Aleeza Kassim (Dewi Remaja 1987/88)
Jasmeen Dhillon (Dewi Remaja 1990/91)
Wan Khatijah Wan Othman (Dewi Remaja 1994/95)
Juliana Banos (Dewi Remaja 1997/98)
Annahita Bakavoli (Dewi Remaja 2002/03)
Scha Al-Yahya (Dewi Remaja 2005/06)
Noor Neelofa (Dewi Remaja 2009/10)
Raysha Rizrose (Dewi Remaja 2014/15)