20 Penerima Pa&Ma Gala Award 2023, Kenali Sisi Mereka Sebagai Ibu Bapa Inspirasi

Shah Alam, 3 Julai 2023 – Pa&Ma Gala Award 2023 Best Papa & Mama Millennial adalah sebuah program anugerah digital parenting pertama yang diadakan di Malaysia.  Pa&Ma Gala Award ini diadakan bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada barisan selebriti dan pempengaruh yang bukan hanya mempunyai pengaruh yang kuat di media sosial malahan menjadi sumber inspirasi buat ibu bapa milenial masa kini.

Tahun ini merupakan tahun ketiga program digital ini diadakan di mana para penonton dapat menonton 18 episod istimewa bersama barisan penerima pengiktirafan ini di pautan Facebook dan Youtube Pa&Ma bermula 4 Julai sehingga 27 Julai 2023.

 

Tahun ini, Pa&Ma Gala Award 2023 menampilkan 20 orang penerima anugerah yang terdiri daripada 10 orang bapa dan 10 orang ibu milenial. Antara selebriti dan pempengaruh yang menerima pengiktirafan ini adalah Awal Ashaari, Datuk Seri Aliff Syukri, Al-Jufferi Jamari, Mira Filzah, Puteri Sarah Liyana, Adira Suhaimi dan ramai lagi.

Bagi menghangatkan program anugerah digital ini, portal Pa&Ma turut mengadakan sebuah majlis pelancaran secara digital pada 3 Julai 2023 dengan menjemput dua orang selebriti yang turut menjadi penerima pengiktirafan Best Papa Millennial dan Best Mama Millenial iaitu Harris Annuar dan Ezzaty Abdullah.

Program digital ini diadakan bukan saja untuk berkongsi tentang tip keibubapaan dari setiap penerima Pa&Ma Gala Award 2023, bahkan untuk mengenali sisi lain diri mereka sebagai seorang bapa dan juga ibu. Dengan perkongsian ini, sedikit-sebanyak dapat membantu ibu bapa milenial untuk membesarkan anak-anak dengan lebih baik.

Hal ini kerana, ibu bapa milenial masa kini menyukai cara selebriti dan pempengaruh yang menunjukkan dan berkongsi gaya kehidupan seharian yang dianggap sempurna oleh peminat atau pengikut mereka. Peminat biasanya cenderung mengikuti cara selebriti yang meraka sukai. Selain itu, para selebriti dan pempengaruh ini jujur berkongsi kisah dan pengalaman kehidupan seharian mereka.

Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd berkata” Saya berharap agar program ini dapat menjadi panduan kepada ibu bapa masa kini dalam membimbing dan membesarkan anak-anak mereka. Saya percaya contoh dan tauladan yang baik akan menjadi ikutan. Tambah Syamil, “Saya melihat betapa pentingnya menyediakan sumber inspirasi dan informasi yang relevan bagi ibu bapa milenial agar mereka dapat menghadapi cabaran dan peranan sebagai ibu bapa dengan lebih baik. Melalui program ini, kami komited untuk terus memberikan nilai tambah kepada masyarakat dengan membuat konten yang bermanfaat dan memberi inspirasi.”

Wan Erni Liza, Editor Pengurusan Grup Parenting berkata “Anugerah Gala Pa&Ma yang dianjurkan buat kali ketiga ini mendapat perhatian dalam kalangan pengikut media sosial kami dan mereka tertunggu-tunggu untuk menyaksikan barisan penerima anugerah pada tahun ini”. Tambah Wan Erni lagi, “kelainannya tahun ini kerana kami mengadakan sesi bual bicara Pa&Ma Gala Award secara terus bersama selebriti dan bukannya lagi di atas talian seperti sebelum ini.”

Pa&Ma percaya dengan informasi di hujung jari pada masa kini dimana media sosial adalah medium paling cepat dalam mempengaruhi dan menyampaikan mesej kepada ibu bapa di luar sana. Oleh itu portal majalah Pa&Ma melihat program ini perlu diteruskan agar dapat memberi inspirasi kepada mereka yang mencari panduan, tips, dan motivasi dalam memainkan peranan mereka sebagai ibu bapa milenial.

Selain itu, Portal Majalah Bintang Kecil di bawah Nu Ideaktiv bakal menganjurkan salah sebuah program terkemukanya iaitu Bintang Kecil Mini Fest yang akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos 2023 di Plaza Masalam, Shah Alam. Program yang bakal berlansung selama dua hari ini menghimpunkan kanak-kanak sekolah rendah yang berumur dari 7 – 12 tahun mempunyai pelbagai bakat, hobi, dan minat. Pelbagai aktiviti telah diaturkan antaranya, pertandingan Dewi Cilik, pertandingan bercerita dan mewarna, pertunjukan fesyen, seni mempertahankan diri dan pelbagai acara menarik lagi. Program ini dimeriahkan lagi dengan persembahan artis jemputan iaitu Mark Adam, Danial Chuer dan ramai lagi. Bintang Kecil Mini Fest ini dijayakan oleh PTPTN dan juga KARIHOME selaku penaja.

Ogos adalah bulan kemerdekaan Malaysia, oleh itu, Portal Majalah Remaja bakal melancarkankan Kempen Saya #RemajaMalaysia yang dicetuskan bagi memberi kesedaran terhadap penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu kepada remaja berusia 15 tahun hingga 22 tahun. Hal ini bertujuan untuk memupuk nilai cinta akan negara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba.

Bagi mencapai objektif kempen, Portal Majalah Remaja bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) menganjurkan pertandingan penulisan esei bagi sekolah menengah dan pengucapan awam bagi pelajar universiti. Pada tahun lepas, sebanyak 1000 penyertaan telah diterima dan pada tahun ini diramalkan penyertaan akan bertambah dua (2) kali ganda. Bagi pertandingan pengucapan awam, enam (6) orang bagi finalis akan berentap di peringkat akhir seterusnya membawa pulang wang tunai.