
Dengan kepesatan maklumat palsu dan gangguan tumpuan yang sebahagiannya berpunca daripada ledakan Kecerdasan Buatan (AI), masih ada satu nilai yang terus menjadi tonggak kewartawanan yang berkualiti: iaitu kepercayaan.
Inilah yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Astro AWANI, apabila buat tahun kelapan berturut-turut, diiktiraf sebagai jenama berita paling dipercayai di negara ini, berdasarkan Reuters Institute Digital News Report 2025 diumumkan bulan lalu.
Pengiktirafan ini menyerlahkan kepentingan berterusan terhadap kewartawanan yang bebas, berintegriti dan berlandaskan kepentingan awam.
Mengulas berkenaan pencapaian ini, Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail menyifatkan, kepercayaan rakyat terhadap bilik berita kelolaannya bukan setakat satu penghormatan, malah juga satu amanah.
“Apabila rakyat Malaysia mempercayai kami selama lapan tahun berturut-turut, ia membawa makna yang besar. Ini mengingatkan kami bahawa teras kewartawanan adalah khidmat kepada masyarakat dan kepercayaan ialah mata wang paling bernilai.
“Anugerah ini mengukuhkan iltizam kami untuk terus berikan yang terbaik dalam menggerakkan kewartawanan yang berpaksikan kepentingan awam menerusi pendekatan berperikemanusiaan.
Menurut laporan Reuters, 66 peratus responden di Malaysia menyatakan mereka mempercayai Astro AWANI, sekali gus menjadikannya organisasi berita yang menerima tahap kepercayaan tertinggi di negara ini. Kedudukan tersebut mula diraih oleh Astro AWANI pada tahun 2018.
Reuters Institute Digital News Report diterbitkan secara tahunan dengan kerjasama Universiti Oxford, merupakan kajian antarbangsa yang merangkumi 47 negara yang mana ia meneliti corak pembacaan berita, tahap kepercayaan pengguna serta pandangan umum terhadap media.
Ketekalan Astro AWANI dalam mengekalkan kepercayaan awam mencerminkan bukan sahaja kekuatan bilik beritanya, tetapi juga komitmen Astro Malaysia Holdings Berhad terhadap integriti editorial, kewartawanan berkepentingan awam serta usaha menyatukan masyarakat menerusi pengisian yang boleh diyakini.