Bintang Kecil Mini Fest, Lebih 2,000 Kanak-kanak Berkumpul Di Plaza Masalam

Bintang Kecil Mini Fest, lebih 2,000 kanak-kanak berkumpul di Plaza Masalam. Program Bintang Kecil Mini Fest 2023 yang dinanti-nantikan telah berlangsung di Plaza Masalam, Shah Alam pada 19 hingga 20 Ogos yang lalu seiring dengan sambutan bulan kemerdekaan.

Hari pertama telah berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan lebih daripada 2,000 kanak-kanak dan ibu bapa yang telah memberikan seribu kegembiraan dan
kenangan yang tidak akan dilupakan.

Bintang Kecil Mini Fest ialah inisiatif di bawah portal digital “Bintang Kecil,” yang bernaung di bawah Nu Ideaktiv Sdn Bhd. Program ini telah dirasmikan oleh Encik Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, dan disaksikan oleh Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Angkasawan Malaysia, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan Dato’ Sri Meer Habib, Pengarah Hal Ehwal Evergreen Venues Sdn Bhd.

Program bermanfaat yang mengagumkan ini dikuasakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Karihome, dan Plaza Shah Alam. Program ini bertujuan untuk menanamkan keyakinan diri dan kemahiran sosial kanak-kanak dengan menyediakan platform bagi mereka ini untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dan melibatkan diri dalam aktiviti
berkumpulan.

Bintang Kecil Mini Fest menggalakkan kerjasama dan semangat berpasukan, menonjolkan bakat kemahiran yang penting untuk kejayaan pada masa depan. Sementara itu, ibu bapa yang terlibat sama di dalam aktiviti bersama anak-anak mereka, akan dapat
membina ikatan yang lebih kuat dengan anak-anak dan dapat melihat perkembangan sosial
mereka.

Program ini tidak hanya memberi faedah kepada individu yang terlibat tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan dan kesepaduan komuniti secara
keseluruhannya. Suasana meriah dan bertenaga turut dirasai oleh seisi keluarga dengan acara perarakan mega oleh pelbagai unit badan beruniform.

Perarakan menampilkan 350 murid dari empat buah sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, SK Bandar Anggerik, SK Seksyen 9 Shah Alam, dan SK Kepong diiringi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk persembahan haka dan pertandingan Dewi Cilik.

Angkasawan Malaysia Dato’ Dr. Sheikh Muzaphar Shukor turut berkongsi mengenai petua
untuk berjaya di alam persekolah dan kehidupan. Di dalam ucapan beliau yang penuh
inspirasi, beliau menekankan kepentingan menetapkan matlamat yang jelas dan mengekalkan rasa tekad yang kuat.

Selain itu, beliau turut berkongsi akan kepentingan mempunyai minda
untuk berkembang maju, menerima cabaran, dan mencari peluang untuk pembelajaran
berterusan.

Kehadiran selebriti terkenal seperti Mark Adam, Yana Samsudin, Shaza Bae, dan ramai lagi
menambahkan lagi kemeriahan dan menjadi daya tarikan suasana Bintang Kecil Mini Fest.
Penglibatan dan interaksi di antara selebriti dan penonton mencipta detik-detik yang tidak
dapat dilupakan dan akan diingati oleh semua yang hadir pada program tersebut.

Sementara itu, Fiza Frizzy selaku pengacara majlis memberikan aksi semangat yang bertenaga dan dapat mengekalkan suasana meriah sepanjang program berlangsung.