
KLANG, 23 Ogos 2025 – Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 kembali buat kali kedua dengan penganjuran yang lebih besar, meriah, dan padat dengan informasi pendidikan.
Dianjurkan oleh Majalah Pa&Ma dengan kerjasama strategik Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), festival ini berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Ogos 2025, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang bertempat di KSL Esplanade Mall, Bandar Bestari, Klang.
Sebagai sebuah festival keluarga yang menggabungkan pendidikan, hiburan dan aktiviti interaktif, Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 menjanjikan pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan, malah sarat dengan mesej penting tentang kepentingan simpanan sebagai pelaburan masa depan anak-anak.
Dengan sasaran kehadiran lebih 1000 pengunjung sepanjang dua hari, festival ini menjadi platform keluarga untuk berhibur sambil memperkukuh kesedaran tentang nilai simpanan dan literasi kewangan melalui penabungan bersama Simpan SSPN.
Majlis perasmian Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) iaitu YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, diiringi oleh Encil Syamil bin Fahim yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Puan Wan Zawiah binti Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, dan Timbalan Editor Pengurusan Grup Family & Parenting NU Ideaktiv Sdn Bhd, En. Shahir Rahim.
Acara perasmian ini menjadi tumpuan dengan penyertaan hampir 400 kanak-kanak dalam perarakan bertemakan Warisan Kesultanan Melayu, diserikan dengan persembahan silat berprestij oleh bekas Pesilat Negara, Mohd Al Jufferi Jamari yang melambangkan keutuhan warisan bangsa.
Turut menyerikan lagi majlis perasmian ini adalah kehadiran penyanyi cilik, Umairah yang hadir menyanyikan lagu tema rasmi Simpan SSPN, sebagai simbolik kepada mesej utama bahawa simpanan untuk pendidikan anak-anak bagi masa depan mereka.
Selain itu, persembahan istimewa daripada penyanyi Azzam Syah dan Sheryl Shazwanie yang membawakan lagu-lagu berirama Malaysia turut menghangatkan suasana, sekali gus menyerikan majlis perasmian Edutainment Fest Simpan SSPN 2025.
Selain fokus pada acara di pentas utama, Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 memberi peluang kepada para pengunjung untuk meneroka pelbagai reruai interaktif bertemakan pendidikan seperti Petting Zoo, Klinik Gigi Kanak-kanak, Henna, Face Painting malah Kaunter PTPTN Negeri Selangor turut dibuka khas sempena acara ini bagi memastikan ibu bapa yang hadir paham akan kepentingan simpanan untuk anak-anak.
Reruai ini bukan sekadar tarikan hiburan, malah menjadi medium pembelajaran santai untuk kanak-kanak, sekali gus memberikan pengalaman yang menyeronokkan serta meninggalkan mesej bermakna dalam diri mereka.
Acara kemuncak festival, Konsert Meletop, menampilkan bakat cilik berusia 4 hingga 12 tahun yang mempersembahkan pelbagai kebolehan kreatif dan seni dengan penuh semangat. Persembahan mereka dinilai oleh penyanyi popular Nabila Razali, yang turut menyerikan pentas dengan persembahan istimewa.
Menurut penganjur, Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 bukan sekadar festival hiburan, tetapi sebuah usaha bersama dalam membina generasi muda yang celik kewangan dan menanamkan semangat menabung sejak kecil.
“Kami percaya, pendidikan bermula dengan persediaan kewangan yang kukuh. Dengan adanya Simpan SSPN, ibu bapa dapat menyediakan masa depan yang lebih terjamin buat anak-anak mereka. Festival ini menjadi jambatan untuk menyampaikan mesej tersebut dalam suasana yang gembira dan penuh nilai kekeluargaan,” – En. Shahir Rahim, Penolong Editor Pengurusan Grup Family & Parenting, Nu Ideaktiv Sdn Bhd.
Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 membuktikan bahawa hiburan dan pendidikan mampu digabungkan bagi menyampaikan mesej menabung demi masa depan secara kreatif, berkesan dan dekat di hati masyarakat. Penganjuran ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran kewangan, mendidik generasi muda tentang nilai simpanan sejak awal, serta menggalakkan ibu bapa merancang pendidikan anak-anak melalui skim Simpan SSPN yang lebih terjamin.