FINALE HERO DEWI REMAJA 2023

Siaran Akhbar

CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur (29 Disember 2023)

AIMAN AMEER DAN NUREL DINOBATKAN SEBAGAI HERO DAN DEWI REMAJA 2023

Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 telah melabuhkan tirainya setelah bersiaran selama lapan (8) episod di Astro Ria dengan menobatkan Aiman Ameer sebagai Hero Remaja 2023 dan Nurel sebagai Dewi Remaja 2023, sekaligus mengetepikan saingan 10 peserta lain yang turut sama berentap di pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023.

Kedua-dua juara tahun ini masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 beserta sebuah trofi dan Dewi Remaja 2023 turut menerima sebuah mahkota di pentas akhir yang bersiaran secara langsung dari CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur. Tracie Sinidol selaku Dewi Remaja 2022 dan Mierul Aiman selaku Hero Remaja 2021 turut hadir di pentas utama untuk memahkotakan penerus legasi kemenangan mereka.

Dalam persaingan yang cukup sengit, Naib Juara Hero Remaja 2023 jatuh kepada Fitri manakala Naib Juara Dewi Remaja 2023 dimenangi oleh Arabella yang berjaya mengekalkan prestasi konsisten sepanjang tempoh pertandingan. Mereka masing-masing menerima wang tunai bernilai RM7,000 dan sebuah trofi.

Selain Juara Hero dan Dewi Remaja 2023,  pemenang kategori Hero dan Dewi Inspirasi pada tahun ini telah dipilih secara eksklusif oleh penaja, Yaya Nadia Empire di mana penerima anugerah Hero dan Dewi masing-masing menerima kontrak kerjasama bernilai RM20,000 berserta sebuah trofi. Penerima anugerah Hero dan Dewi Inspirasi Yaya Empire ialah Aiman Ameer dan Adrina.

Selain itu, menerusi hasil undian peminat di laman web REMAJA (www.remaja.my), kategori Hero Favourite dan Dewi Favourite disandang oleh Razin Qidran dan Nurel. Manakala, kategori Best Chesmistry Duo pula dimenangi oleh Jay Iskandar dan Arabella. Kesemua pemenang kategori ini masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan sebuah trofi.

Pada malam finale Hero Dewi Remaja 2023, para peserta telah dinilai secara oleh barisan juri yang cukup berpengalaman iaitu Scha Alyahya selaku juri tetap dan mentor rancangan ini bersama dua juri jemputan, Datuk Aznil Hj Nawawi dan Datuk Yusry Abdul Halim.

Ketua Bahagian New Gen, Men & Hobbies, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Fiezreen Ahmad berkata, “Malam ini sejarah tercipta apabila dua juara dinobatkan sekaligus, pertama kali dalam sejarah Dewi & Hero Remaja sepanjang lebih 38 tahun penganjuran. Pemilihan kedua-dua mereka dianggap tepat dan mampu meneruskan legasi cemerlang juara-juara sebelum ini. Pencarian ini bukan hanya mengiktiraf bakat yang cemerlang dan berpotensi, tetapi juga sebagai batu loncatan untuk mereka meneroka dunia seni, membina keyakinan diri, dan menjadi contoh yang memberi inspirasi kepada generasi masa kini.

Sepanjang lebih lapan minggu bertanding, kesemua 16 peserta telah didedahkan dengan pelbagai ilmu  dan aktiviti-aktiviti kerja sosial yang memberi manfaat. Selain itu, mereka turut diberikan peluang unuk muncul dalam program-pogram digital yang disusun secara strategik bagi memberi lebih banyak pendedahan terutamanya dalam industri seni di Malaysia. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang pada malam ini.”

Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari pula berkongsi, “Kami amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua peserta Hero dan Dewi termasuk barisan juri dan panel jemputan yang terlibat sama dalam menjayakan Hero Dewi Remaja 2023 ini.

Dikesempatan ini, pihak Astro ingin mengucapkan tahniah kepada Juara Hero dan Dewi Remaja 2023 di atas kejayaan yang diperolehi. Kami berharap apa yang mereka pelajari daripada rancangan ini dapat diterapkan dalam apa jua bidang yang diceburi kelak. Pihak Astro juga telah merangka beberapa pelan dan initiatif, bukan sahaja tertumpu pada Juara, malah untuk kesemua 16 peserta agar dapat diketengahkan dan menerpa nama di dalam industri tempatan selepas rancangan ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Yaya Nadia Empire yang hadir selaku penaja untuk program Hero Dewi Remaja 2023 serta para peminat dan penonton yang memberi sokongan kepada peserta-peserta Hero Dewi Remaja 2023 sepanjang penerbitan program ini,” tambah Idlan.

Pencarian Dewi Remaja yang memasuki edisi ke-13 ini telah dianjurkan oleh Nu Ideaktiv dengan kerjasama Astro sebagai penyiar rasmi.

 

SENARAI PEMENANG PENCARIAN DEWI REMAJA

Tengku Anis Tengku Ismail (Dewi Remaja 1985/86)

Aleeza Kassim (Dewi Remaja 1987/88)

Jasmeen Kaur Dhillon (Dewi Remaja 1990/91)

Wan Khatijah Wan Othman (Dewi Remaja 1994/95)

Juliana Banos (Dewi Remaja 1997/98)

Annahita Bakavoli (Dewi Remaja 2002/03)

Scha Al-Yahya (Dewi Remaja 2005/06)

Noor Neelofa (Dewi Remaja 2009/10)

Raysha Rizrose (Dewi Remaja 2014/15)

Shaza Bae (Dewi Remaja 2019)

Tracie Sinidol (Dewi Remaja 2022)

 

SENARAI PEMENANG PENCARIAN HERO REMAJA

Esma Daniel (Hero Remaja 1990/91)

Suhardi Isa (Hero Remaja 1994)

Wan Shahlim (Hero Remaja 1997/98)

Kusyairi Ahmad (Hero Remaja 1999)

Zed Zaidi (Hero Remaja 2000/01)

Zaween Anwar (Hero Remaja 2004)

Kamal Adli (Hero Remaja 2007/08)

Fattah Amin (Hero Remaja 2011/12)

Aliff Muhaimin (Hero Remaja 2017)

Nadhir Nasar (Hero Remaja 2020)

Mierul Aiman (Hero Remaja 2021)

 

HASHTAG RASMI

#HeroDewiRemaja2023

#HeroRemaja2023

#DewiRemaja2023