HERO DEWI REMAJA 2023

Hero Remaja & Dewi Remaja merupakan sebuah jenama yang sudah pun mencecah usia 38 tahun sejak penganjurannya. Dewi Remaja mula dianjurkan pada tahun 1985 manakala Hero Remaja pula bermula sejak tahun 1990.  Kini telah tiba masanya edisi terbaharu dipersembahkan kepada umum.

Setelah dua bulan berlalu sejak sesi uji bakat dilangsungkan, 16 orang finalis terkini telah pun diumumkan. Namun menyuntik sedikit kelainan, kedua-dua pertandingan digabungkan serentak dan digelar Hero Dewi Remaja 2023. Menerusi sidang media yang dilangsungkan pada 31 Oktober 2023 bertempat di Astro, Bukit Jalil, kesemua finalis telah diperkenalkan satu-persatu kepada rakan media dan penonton yang mengikuti kemas kini menerusi aplikasi media sosial Majalah Remaja.

Selebriti popular yang juga juara Dewi Remaja 2005/06, Scha Alyahya kembali sebagai mentor serta juri tetap untuk edisi kali ini setelah kali terakhir beliau menjadi juri tetap adalah pada edisi Hero Remaja 2021. Pemilihan Scha Alyahya dianggap tepat kerana beliau merupakan seorang selebriti serba boleh dan terkenal serta merupakan antara alumni Dewi Remaja paling berjaya.

Pemilihan 16 orang finalis (8 lelaki & 8 perempuan) pada edisi kali ini dilakukan dengan sangat teliti mengambil kira potensi dan bakat yang mereka tonjolkan ketika proses uji bakat dijalankan. Apa yang pasti, setiap seorang memiliki keperibadian menarik untuk ditonjol dan potensi tinggi untuk dijulang  sebagai wajah baharu yang mewakili remaja Malaysia dalam industri hiburan tanah air mahupun lapangan lain yang mereka ingin ceburi.

Kesemua finalis telah dipilih menerusi empat sesi uji bakat yang dilangsungkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Petaling Jaya. Penganjuran uji bakat Hero Dewi Remaja 2023 telah menerima penyertaan lebih daripada 850 peserta. Menariknya, sepanjang empat minggu uji bakat berlangsung, siaran video di media sosial telah berjaya mencapai lebih 30 juta tontonan.

Menurut Fiezreen Ahmad selaku Ketua bahagian New Gen dan Men & Hobbies, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, pencarian Hero Dewi Remaja 2023 dijangka akan memberi impak berbeza disebabkan kelainan yang dipersembahkan buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran jenama ini.

“Hero Remaja & Dewi Remaja merupakan sebuah legasi ulung yang dicetuskan oleh Majalah Remaja. Berevolusi dari dunia cetak ke dunia digital, dua pencarian ini terus berkembang seiring zaman. Sepanjang penganjurannya selama lebih 38 tahun, ramai permata industri seni dilahirkan. Antara generasi baharu pertandingan ini yang kini menjadi bualan hangat seperti Nadhir Nasar, Meerqeen, Anna Jobling, Shaza Bae, Mierul Aiman, Amir Ahnaf dan Tracie Sinidol.

“Meneruskan legasi ini, sepanjang uji bakat diadakan, para peserta telah diuji dari pelbagai aspek antaranya personaliti diri, bakat, pengetahuan am dan gaya komunikasi. Bagi kami ini sangat penting untuk melahirkan bintang yang siap untuk industri dan boleh menjadi contoh yang baik kepada remaja di luar sana. Mereka bukan sekadar anak seni namun harus memiliki pandangan dan jati diri yang utuh apabila berada di khalayak ramai.

“Apa yang menarik, edisi kali ini menyaksikan kelainan menerusi gabungan Hero dan Dewi dalam satu edisi. Semestinya bakal memberikan perspektif baharu dengan tampilan kandungan yang lebih segar selari dengan misi untuk melahirkan anak seni berpotensi tinggi dan membentuk personaliti terbaik.  Diharapkan finalis tahun ini memberikan usaha mereka sepenuhnya dalam perjalanan bergelar juara.

 “Selain penampilan mereka selama lapan episod di kaca televisyen menerusi Astro Ria, para finalis juga akan ditampilkan di setiap platform media sosial Majalah Remaja menerusi pelbagai kandungan dan aktiviti yang bakal diadakan. Menariknya kami akan turut memberi peluang kepada para peminat mereka kelak untuk menyertai aktiviti yang telah kami susun,” kongsi Fiezreen.

Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari pula berkata, “Berdiri teguh sebagai platform yang mampu melahirkan bakat baharu generasi muda, Astro Ria teruja untuk mempersembahkan ‘Hero Dewi Remaja 2023’, gabungan dua jenama pencarian Hero dan Dewi terkemuka yang diterjemah ke dalam edisi terbaharu menerusi kerjasama Astro dan Nu Ideaktiv ini.

 Selaku penyiar rasmi program realiti ‘Hero Dewi Remaja 2023’, kami ingin menampilkan pembaharuan yang bertepatan dengan golongan remaja masa kini, khususnya dengan memperkenalkan 16 Hero dan Dewi yang dipilih sebagai model peranan untuk menonjolkan bakat dan kebijaksaaan mereka kepada para penonton. Terdapat pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat telahpun disusun untuk menghiasi tugasan dan cabaran agar kami dapat mempersiapkan Hero dan Dewi ini dengan ilmu yang relevan dan boleh diterapkan di dalam kehidupan mereka. Pastinya, Hero dan Dewi ini bakal memikat hati penonton dan mengumpul kelompak peminat dengan bakat dan kebolehan mereka yang terpendam. Sebagai tambahan, Hero dan Dewi ini juga bakal menyerikan barisan selebriti-selebriti di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

 Akhir kata, kami berharap semoga penganjuran Hero Dewi Remaja pada tahun ini menjadikan Astro sebagai platform pencarian bakat komersial yang utuh sekaligus meletakkan Astro sebagai destinasi utama dalam menghasilkan bakat baharu industri hiburan tempatan,” tambah Idlan.

 Berikut merupakan 16 orang peserta telah terpilih sebagai finalis Hero Dewi Remaja 2023.

NO.FINALIS HERO DEWI REMAJA 2023UMURNEGERI ASAL
1Arabella Ellen binti John Robert Nelson18Selangor
2Nurelyana binti Baharin21Sarawak
3Qistina Rania binti Fakhrul Azam22Kelantan
4Nur Azka Azimah binti Ahmad Aziz23Sabah
5Cora Waybin23Sabah
6Nuramira binti Mohamed Rafid23Selangor
7Nur Adrina binti Kamaruddin24Kelantan
8Nur Amirah Afrina binti Mohd Hashim24Kedah
9Aariz Iskandar bin Idris18Selangor
10Tan Jia Song21Selangor
11Mohd Al Hakim Khan bin Fakhruh Hadi22Selangor
12Azri Safix bin Mohd Razal23Kuala Lumpur
13Che Aiman Ameer bin Che Kamarudin23Johor
14Muhammad Fitri bin Mohd Farok24Kuala Lumpur
15Razin Qidran bin Noor Hisham24Kuala Lumpur
16Evertts McClane Gomes25Sabah

 

Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 bakal ditayangkan menerusi lapan (8) episod  bermula 10 November, pada setiap hari Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Ria.

Selain bertanding menerusi cabaran episod yang ditayangkan, 16 finalis terpilih juga bertanding dari aspek populariti serta duo terbaik menerusi undian peminat yang dibuka bermula 10 November sehingga ke malam finale kelak untuk mengetahui siapakah yang akan bergelar Hero dan Dewi Favourite 2023 serta Best Chemistry Duo. Undian boleh dilakukan pada setiap hari di laman web rasmi REMAJA di https://www.remaja.my/herodewi/

Pertandingan Hero Dewi Remaja 2023 merupakan kerjasama di antara Nu Ideaktiv Sdn Bhd selaku penganjur dan Astro Ria selaku penyiar rasmi. Siapakah yang bakal meneruskan legasi HERO REMAJA  dan DEWI REMAJA yang disandang oleh juara terdahulu? Sama-sama kita nantikan!