KENYATAAN MEDIA TAKLIMAT SINERGI MEDIA MALAYSIA SEMPENA WORLD #QURANHOUR 1443H/2022

Tarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadan 1443H

Masa: 9.30 pagi – 11.30 pagi

Platform: Zoom

 

SHAH ALAM: Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berkolaborasi dengan rakan Sinergi Media Malaysia untuk menjayakan Misi #QuranHour melalui tiga program utama, iaitu World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention, di Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia, di platform Zoom, pada 15 April 2022.

 

Sesi taklimat tersebut disertai oleh wakil media seperti TV AlHijrah, Astro, RTM, Bernama, Utusan TV, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf, Nu Ideaktiv, Zayan FM, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Media Prima, Harakah Daily, dan Denaihati.com.

 

World #QuranHour kali ke 7 dengan tajuk “Dunia Bersujud” akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah, pada 24 Ramadan 1443H bersamaan 26 April 2022. Manakala, Malaysia #QuranHour diadakan pada 30 Ogos 2022 dan World #QuranConvention pada 17 dan 18 Disember 2022.

 

Tiga program utama tersebut dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama daripada rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran  badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

 

Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan pada kempen gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) sepanjang tahun ini. Surah tersebut menjadi formula daripada Ilahi untuk meningkatkan rasa kehambaan kepada ALLAH, dan panduan penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi & Penyayang.

 

TV AlHijrah sebagai penyiar utama mengalu-alukan semua rakan media untuk  mengambil “live feed” World #QuranHour pada hari tersebut. Diharapkan stesen TV lain seperti Astro, RTM, Media Prima dan Bernama TV turut sama menyiarkan program ini serentak pada 26 April 2022, Selasa, pukul 12 hingga 1 tengah hari.

 

Sesi taklimat tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Sajdah yang dibimbing oleh Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali. Manakala sesi tadabbur disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

 

Pengasas WUIF dan juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Dato’ Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif, WUIF, Marhaini Yusoff berkongsi maklumat mengenai penganjuran World #QuranHour 1443H/2022.

 

Sementara itu, TV Al-Hijrah yang diwakili oleh Pengurus Besar, Jabatan Kejuruteraan & Sokongan Penyiaran, Suffian Yahya dan Pengurus Penerbitan, Mohd Ashrudy Borhan memberi taklimat teknikal kepada rakan Sinergi Media.

 

Pada 2021, World #QuranHour yang diadakan secara hibrid mencatatkan 485 bilion capaian di media sosial, 2,700 lokasi berdaftar  di dalam negara dan 42 lokasi luar negara.

 

Orang ramai termasuk keluarga, komuniti, agensi kerajaan, swasta dan NGO di dalam dan luar negara dijemput menyertai atau menganjurkan World #QuranHour 1443H di lokasi masing-masing dengan mendaftar Hotspot di https://bit.ly/REGWQH2022.

 

 

MENGENAI YAYASAN WARISAN UMMAH IKHLAS DAN MISI QURANIC VALLEY

 

Sejak tahun 2013 hingga kini, gerakan Baca, Faham dan Amal Al-Quran telah digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) melalui pelbagai inisiatif.

Ini termasuk kempen penubuhan lebih 3000 Rumah Ngaji (#QuranCorner, Troli Ibadah) di seluruh Malaysia, penganjuran Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour melibatkan 76 buah negara dan mencapai 1.46 bilion capaian di seluruh dunia.

 

Terkini penghasilan program TV dan Digital berlandaskan Al-Quran seperti My #QuranTime yang telah dimanfaatkan oleh 10 juta penonton dan pelayar internet serta sumbangan lebih 150 ribu naskhah wakaf Al-Quran kepada para petugas barisan hadapan dalam wabak yang melanda.

 

Tabung Gerakan Al-Quran ini adalah bagi Misi MengQURANkan Bangsa MengIKHLASkan Ummah  untuk membangunkan Lembah A-Quran (Quranic Valley) Menuju 1500 H.

 

Aktiviti utama Quranic Valley:

  1. Wakaf dan infak al-Quran dalam bentuk mushaf dan pelbagai bahasa terjemahan.
  2. Mewujudkan Quranic Valley (Lembah al-Quran) melalui Pembangunan dan Penyeleidikan (R&D) al-Quran, untuk tujuan Tadabbur dan Tazakkur di pelbagai peringkat ekosistem.
  3. Infak & Wakaf Media bagi penyebaran kefahaman al-Quran melalui platform TV dan Digital.
  4. Latihan pembangunan jurulatih tadabbur al-Quran untuk pelbagai golongan masyarakat.
  5. Pemerkasaan kempen berteraskan interaksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
  6. Pemberdayaan Sahabah al-Quran yang menyumbang kepada misi MengQurankan Bangsa MengIkhlaskan Ummah.

 

____________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

  1. Marhaini Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif – 013 3593165
  2. Maslinda Mohd Esak – 013 6826335

____________________________________________________________________