Lima Finalis Dewi Remaja 2018/2019 Bakal Berentap di Pusingan Akhir

Setelah hampir lapan minggu bersiaran, akhirnya detik yang ditunggu-tunggu untuk mengetahui siapakah yang berjaya menyandang gelaran Dewi Remaja 2018/2019 sudahpun tiba. Pengumuman rasmi keputusan akhir ‘Pencarian Dewi Remaja 2018/2018’ bakal disiarkan secara langsung dan eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) malam ini jam 10.30 malam.

Daripada 12 peserta untuk bersaing merebut gelaran juara bagi edisi kali ini, seramai lima peserta terbaik telah terpilih untuk bergelar finalis akhir sekaligus berjaya mara ke pusingan finale. Mereka terdiri daripada RANIA (19, Kuala Lumpur), TIA SARAH (18, Selangor), HANEESYA (18, Kuala Lumpur), ANNA JOBLING (18, Kuala Lumpur) dan SHERIN (23, Selangor).

 

Sepanjang pembabitan para finalis ini di dalam program ‘Pencarian Dewi Remaja’ menerusi kandungan televisyen di Astro Ria dan Ria HD serta kandungan digital di platform digital Majalah Remaja, mereka telah diuji dengan variasi cabaran untuk melihat sejauh mana potensi yang ada pada diri untuk bergelar seorang Dewi Remaja. Antaranya termasuklah cabaran fizikal ala Spartan Race, cabaran catwalk, entrepreneurship, pengacaraan Vlog, lakonan dan kempen kesedaran.

Bukan saja pakej rupa paras dan bakat yang dicari, malah untuk menjadi seorang pemenang, mereka perlulah mempunyai minda yang positif dan personaliti menarik, sekaligus meneruskan legasi yang dijayakan oleh peserta Dewi Remaja terdahulu.

Sejak dianjurkan pada edisi 1985/1986, pencarian Dewi Remaja mencetuskan warna di dalam industri seni tanah air. Para alumni terdahulu berjaya memastikan kehadiran mereka di dalam industri ini disedari dengan laluan karier yang menyerlah. Lihat sajalah pada alumni para peserta seperti Datin Sheril Aida, Datin Seri Umie Aida, Datin Sharifah Shawati Syed Mohd, Azah Aziz, Rita Rudaini dan ramai lagi para senior.

Mengulas lanjut mengenai Malam Finale Pencarian Dewi Remaja 2018/2109, Emarina Mohd Kamal selaku pengurus saluran Astro Ria amat berbesar hati dengan kepercayaan penuh yang diberikan oleh pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. sepanjang terjalinnya kerjasama strategik yang sudahpun memasuki edisi ketiga sejak Pencarian Dewi Remaja 2009/2010.

Selaku penganjur bersama, kami gembira dengan sambutan impak positif yang diukur daripada segi jumlah rating dan strategi penjenamaan yang berkesan sepanjang pertandingan ini berlangsung. Melihat kepada kejayaan penganjuran sebelum ini, kami percaya edisi musim ini mampu mengekalkan legasi Dewi Remaja sebelum ini. Di kesempatan ini, kami mengucapkan tahniah kepada kesemua lima finalis kerana telah berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Syabas dan semoga berjayadi episod finale kelak”.

Dalam pada itu, Farah Hussamuddin selaku Penerbit Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. juga turut berpendapat bahawa penganjuran Dewi Remaja merupakan satu tradisi gemilang sejak 34 tahun yang lalu.

Menerusi pertandingan ini, ramai permata seni tanah air berjaya dicungkil bakatnya. Untuk edisi kali ini, kita dapat melihat persaingan sengit di antara para finalis. Mereka matang seiring pertandingan dan kuasa media sosial memberikan mereka platform untuk mencipta jenama, membentuk identiti dan mengumpul pengikut mereka tersendiri. Semoga mereka berjaya menyinar dan memberikan inspirasi sebagai remaja yang berjaya terutamanya dalam dunia teknologi yang berkembang pesat kini.

Tugas berat akan disandang oleh juri yang dilantik untuk episod finale ini iaitu Dato’ Hans Isaac selaku juri tetap. Manakala Datuk Aznil Haji Nawawi dan Neelofa yang juga merupakan Dewi Remaja 2009/2010 pula dijemput khas untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri jemputan. Sementara itu, Scha Al-Yahya akan terus bersama ‘adik-adik’nya sebagai pengacara program.

Selain peserta, hos serta juri, pencarian Dewi Remaja 2018/2019 juga telah mendapat sokongan sepenuhnya oleh para penaja yang telah bersama kami sejak hari pertama. Oleh itu, kami ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan telekomunikasi rasmi redONE, rakan penaja Obsess Cosmetics, KFC Malaysia dan Irisa Cosmetics. Begitu juga dengan kehadiran rakan radio rasmi kami iaitu Era.je yang telah menyokong dengan temu ramah di corong radio sepanjang 8 minggu.

Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 turut mendapat liputan menyeluruh dan terkini melalui laman digital serta sosial media Majalah Remaja. Melalui paparan video yang menampilkan pengacara digital Safwan Nazri, penonton dan pengikut setiap peserta dapat menonton perjalanan para peserta, juri dan aktiviti yang berlangsung secara pantas.

Bagi mengikuti info terbaru mengenai Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 pula, kunjungi laman web www.remaja.my/dewi, Facebook [@majalahremaja] dan Instagram [@majalahremaja].