
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan Pink Ribbon Run 2025 bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October) yang berlangsung di Dataran Wawasan, Putrajaya.
Penganjuran ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Majalah Nona, Mingguan Wanita, National Cancer Society of Malaysia (NCSM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC). Majlis turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, yang berkenan mencemar duli berangkat serta turut sama menyertai acara larian tersebut.
Baginda turut menzahirkan sokongan terhadap tema kempen kesedaran tahun ini, “Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa,” yang mencerminkan semangat perpaduan, kasih sayang dan kekuatan masyarakat dalam melindungi wanita daripada ancaman barah payudara.
Dalam titah baginda, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berharap agar usaha memperkasa pendidikan kesihatan dan saringan awal penyakit barah payudara tidak terhenti pada bulan Oktober sahaja, sebaliknya diteruskan secara berterusan sepanjang tahun bagi memastikan kesedaran dan tindakan pencegahan dapat dipertingkat di seluruh negara.

Anugerah Inspirasi Cancer Survivor Nona 2025
Sebagai penghargaan kepada para pejuang barah payudara, Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Cancer Survivor Nona 2025 kepada:
- Puan Sarlinawati Abd Mues
- Puan Azlinda Tammatulmadzi
- Puan Noor Afifah Abdul Razak
- Puan Nurul Munirah Mohd Sobri (diwakili oleh ibunya, Puan Nur Karina Cheong binti Abdullah)
Anugerah ini diberikan sebagai tanda pengiktirafan terhadap ketabahan dan semangat juang mereka yang menjadi inspirasi kepada masyarakat.
Aktiviti dan Program Kesihatan
Program Pink Ribbon Run 2025 turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kesedaran kesihatan termasuk:
- Pemeriksaan saringan barah payudara percuma khusus untuk golongan B40
- Acara larian sejauh 5KM yang bermula seawal jam 7.30 pagi
- Sesi Sembang Wanita Xtra bersama pakar kesihatan dan personaliti wanita
- Zumba dan aktiviti kecergasan komuniti
- Persembahan istimewa oleh Ella, Elite, Bella Astillah, Nas Adila, serta finalis Dewi Remaja 2025
- Penyampaian sumbangan kebajikan kepada Breast Cancer Welfare Association (BCWA)
- Cabutan bertuah tajaan Mydin Malaysia dan Batik Air

Penganjuran Pink Ribbon Run 2025 bukan sekadar inisiatif kesihatan, tetapi juga simbol solidariti seluruh masyarakat dalam menyokong wanita yang berjuang melawan barah payudara.
Program ini secara tidak langsung memperkukuh usaha kerajaan dalam memperluas advokasi kesihatan, mempertingkat saringan awal serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.







