#QURANHOUR FOR GAZA SURAH AL-INSAN: KEMANUSIAAN SEJAGAT

Tarikh: 22 Oktober 2023  Hari: Ahad

Masa: 8.30 pagi hingga 9.30 pagi

Lokasi: Auditorium Sultan Mohamad V, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam

SHAH ALAM : Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai untuk bermuhasabah diri dan merancang tindakan untuk formula kemenangan ummah pada program #QuranHour for Gaza “Kemanusiaan Sejagat”, di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, hari ini  (22 Oktober 2023).

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff  berkata program anjuran bersama MyAqsa Defenders ini mengangkat nilai kemanusiaan berpandukan solusi Surah Al-Insan dan tujuh Surah Musabbihat sebagai panduan perjuangan.

“Kita perlu reset bahawa perjuangan di Gaza atau luar Gaza bukanlah bertujuan membalas dendam, tetapi ia mengenai janji kemenangan yang ada di dalam Surah Al-Isra’ ayat 4 hingga 6.  Apa yang berlaku hari ini, manusia terhakis nilai kemanusiaan kerana jiwanya gelap. Surah Al-Insan memberi panduan untuk kita reset sebagai seorang manusia sebenar.

“Dalam isu Palestin, kita yakin dengan janji ALLAH.Ia sebagai Qada’ dan Qadar di mana ketetapan ada dua kerosakan dan kemenangan dijanjikan oleh ALLAH SWT. Berpandukan Surah Ar-Rum, kunci kemenangan adalah sabar. Sabar tidak bererti diam. Kita di luar bumi Palestin perlu bersabar dalam membina kekuatan diri, keluarga, negara dan ummah seluruh dunia.”

Tambah beliau #QuranHour for Gaza adalah cetusan, doa, kebersamaan untuk beriltizam dan berikrar untuk kita bersatu dan kembali meneguhkan diri dengan ilmu dan panduan al-Quran untuk kemenangan, sains dan teknologi, solat untuk peneguhan karakter dan infak sebagai tanda kesatuan ummah seluruh dunia. Inilah cara hidup Muslim.

Kita ingin menjadi sebahagian daripada kemenangan yang ALLAH janjikan dalam al-Quran.  Orang ramai diharapkan dapat memahami peranan mereka di luar Gaza untuk mendapatkan panduan dan kekuatan diri, keluarga, organisasi dan negara dalam menyantuni Qada’ dan Qadar dengan kembali memanusiakan manusia berpandukan Surah Al-Insan.

Sebagai Muslim, kita perlu meyakini setiap janji ALLAH dalam al-Quran dan berterusan beramal dengannya menjadi tugas dan tindakan setiap hamba yang bersyukur. Tetap sabar dan bertahan dengan segala ketentuan ALLAH SWT, serta berterusan memperbaiki dan memperkuatkan jati diri dengan al-Quran, solat, infak serta doa  yang menjadi perjuangan hamba yang bersyukur.

Sementara itu, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata #QuranHour for Gaza memberi pendekatan emosi yang tinggi terhadap apa yang berlaku di Palestin. Kenapa ALLAH SWT membiarkan perkara tersebut berlaku? Ini menunjukkan jika tiada nilai kemanusiaan dalam hati manusia, maka berlaku kekejaman oleh pihak yang buta hati.

Apa berlaku di Palestin, penindasan umat Islam juga berlaku di negara lain seperti India, dan Myammar. Mereka membunuh sesama sendiri kerana tiada nilai kemanusiaan.  Banyak demonstrasi dan derma dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membantu rakyat Palestin namun ia tidak memberi impak jangka panjang. Palestin terus dihancurkan oleh rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan.

“Kita perlu gemakan Surah Al-Insan ke dalam hati dan mempersiapkan anak cucu untuk melawan Israel. Sebenarnya Gaza dan Israel wujud dalam diri, keluarga, organisasi dan negara. Israel melambangkan kemewahan, teknologi dan ketamakan.

“Isu untuk selamatkan Palestin bukan balas dendam tetapi mencapai kemenangan. Kita perlu selamatkan kemanusiaan dalam diri dan keluarga, terutamanya ketua keluarga dan pemimpin. Oleh itu, kita perlu kembali kepada al-Quran sebagai solusi kehidupan.

“Dengan bermuhasabah diri, kita bina rakyat yang kuat untuk membina kerajaan yang kuat. Kita perlu pastikan mempunyai kerajaan yang dipimpin oleh orang mempunyai nilai abrar dan berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis,” ujarnya.

#QuranHour For Gaza menampilkan Qari Imam Palestin, Shaykh Rami As-Sousi; pentadabbur, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail , dan Timbalan Dekan Fakuti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Ahmad Sanusi Azmi; Pengerusi Serantau Muslim merangkap Ahli Gabungan MyAqsa Defenders, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor. Sesi diakhiri dengan bacaan doa oleh pensyarah USIM, Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abd Samad.

INFO: YAYASAN WARISAN UMMAH IKHLAS

Bermula 2013, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang bernaung di bawah Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd menjalankan inisiatif untuk menjadikan al- Quran sebagai manual kehidupan. WUIF memberi pendekatan melalui:

  1. Rumah Ngaji sebagai pusat pembelajaran al-Quran secara percuma
  2. Kempen #QuranHour (World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Haramain #QuranHour, My Family #QuranHour)
  3. Sahabah al-Quran iaitu individu,keluarga atau organisasi sebagai ejen perubahan bersama visi membangun legasi akhlak al-Quran

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour/.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:

  1. Marhaini Yusoff: Ketua Pegawai Eksekutif WUIF – 013 359 3165

2. Fouziah Amir: Media & PR – 019 3803635 / 011 26330209