RASA BUBUR LAMBUK & KUIH WARISAN

Percuma Bubur Lambuk Untuk Warga Shah Alam, Meneruskan Tradisi Santuni Masyarakat Anjuran Majalah RASA Dianjurkan Dua Minggu Berturut-Turut

 

Sempena bulan Ramadan ini, Majalah RASA di bawah naungan Nu Ideaktiv Sdn Bhd telah menganjurkan program RASA Bubur Lambuk Warisan 2024 dengan memasak 1,500 mangkuk bubur lambuk bersama rakan penaja BABA’S. Program ini berlangsung di AEON Mall Shah Alam pada 16 Mac 2024.

Sejurus itu, Majalah RASA meneruskan legasi CSR dengan mengagihkan bubur lambuk dengan kerjasama AJI-SHIO® dan FGV Holdings Berhad (FGV) melibatkan penyediaan 2,000 mangkuk bubur lambuk dan lebih 8,000 kuih-muih tradisional, yang diedarkan di Central I-City, Shah Alam.

Program RASA Bubur Lambuk Warisan ini telah berlangsung selama enam (6) tahun berturut-turut. Kali ini, Majalah RASA bersama BABA’S, berganding bahu untuk memasak dan mengedarkan secara percuma kepada warga Shah Alam dan Kawasan berhampiran selain diedarkan eksklusif kepada para petugas hospital, pegawai agensi badan beruniform dan warga Shah Alam.

 

Program yang pertama berlangsung pada 16 Mac Di AEON Shah Alam telah direncahkan oleh BABA’S dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti Sissy Iman dan Chef Qayyum yang merupakan seorang chef selebriti yang tidak asing lagi di kalangan peminat rancangan memasak. Sebagai sebahagian daripada usaha yang mulia ini, Chef Qayyum telah menyumbangkan kepakaran memasaknya dalam penyediaan bubur lambuk warisan bagi memastikan rasa bubur lambuk dimasak menepati cita rasa masakan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim, menyuarakan rasa kegembiraan dan komitmen penuh para penaja dan rakan kolaborasi terhadap program RASA Bubur Lambuk Warisan 2024 ini.

“Kami sangat berbangga dan bersyukur dapat bersama-sama dengan BABA’S untuk menyumbang kepada masyarakat, terutamanya kepada petugas beruniform dan warga Shah Alam, melalui inisiatif penyediaan 1,500 mangkuk bubur lambuk. Semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam berbakti kepada masyarakat. Ini semua selaras dengan nilai-nilai yang kami galakkan, dan kami berharap program ini dapat memberi kegembiraan dan keceriaan kepada mereka yang menerima sumbangan ini”.

Tuan Haji Azrain Mohamad, Ketua Pemasaran BABA‘S menyatakan pandangan positif terhadap penglibatan BABA’S dalam Program RASA Bubur Lambuk Warisan 2024 ini. “Ini merupakan kali kedua penglibatan BABA’S dan sangat berbesar hati dapat bekerjasama. Kami menggunakan beberapa produk keluaran sebagai bahan utama masakan bubur lambuk warisan pada kali ini, antaranya Serbuk Kurma Baba’s, Serbuk Sup Baba’s dan Serbuk Jintan Manis dan Serbuk Lada Hitam Baba’s. Gabungan ini menghasilkan rasa enak dan menaikkan selera.

Program yang kedua RASA Bubur Lambuk dan Kuih Warisan 2024 telah berlangsung pada 23 Mac 2024 bertempat di Central I-City, Shah Alam menyaksikan kehadiran tetamu kehormat iaitu Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Adun Kota Anggerik dan turut diiringi barisan pengurusan Ideaktiv Sdn Bhd, FGV dan juga AJI-SHIO®.

Bagi menghangatkan lagi acara memasak bubur lambuk ini, selebriti Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil dan Siti Elizad turut diundang. Artis Mila Jirin turut menyumbang suara merdunya di program ini. Bagi memastikan kualiti, kelazatan dan keenakkan bubur lambuk, pihak RASA telah bekerjasama dengan Chef Fikree dan Chef Naem, pakar dalam bidang masakan untuk proses memasak bubur lambuk.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim, menyuarakan rasa kegembiraan dan komitmen penuh para penaja dan rakan kolaborasi dalam program RASA Bubur Lambuk dan Kuih Warisan 2024 ini. Dalam kenyataannya, beliau menekankan bahawa kejayaan program ini adalah hasil daripada semangat kerjasama yang erat antara semua pihak yang terlibat.

“Kami amat gembira melihat respon positif dari masyarakat dan sokongan penuh dari AJI-SHIO® dan FGV dalam menjayakan program ini. Kejayaan penganjuran Program RASA Bubur Lambuk dan Kuih Warisan ini adalah bukti nyata semangat gotong-royong dan tanggungjawab sosial yang tinggi di kalangan pihak-pihak terlibat,” ujar Syamil Fahim.

Sementara itu, AJI-SHIO® dan FGV turut melahirkan rasa bangga dan kesyukuran kerana dapat menyumbang kepada masyarakat melalui program ini untuk menyatakan komitmen mereka dalam terus menjalankan tanggungjawab sosial korporat dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Pengurus Jenama AJI-SHIO®, Loh Mei Jen menyatakan penglibatan AJI-SHIO® dalam Program RASA Bubur Lambuk dan Kuih Warisan 2024 sebagai satu tanggungjawab sosial yang dihayati dengan penuh kebanggaan. Dalam kenyataannya, beliau menekankan komitmen AJI-SHIO® untuk berperanan aktif dalam usaha kebajikan yang membawa manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam konteks bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Majalah RASA dan BABA’S, menjemput orang ramai untuk menyertai usaha bermakna ini . Untuk maklumat lanjut dan kemas kini mengenai program RASA Bubur Lambuk Warisan 2024, sila layari www.rasa.my atau hubungi majalah RASA 0196328758.

HASHTAG RASMI:
#RASABuburlambukdankuihwarisan2024
#RASA
#Ideaktiv