Syakirin, Kamalia Pemenang Pencarian Hos Mingguan Wanita Talk Show

Shah Alam, 28 Mac 2019 – Selepas 5 minggu proses pencarian hos Mingguan Wanita talk show dijalankan, Syakirin Husnal dan Kamalia Kamaruddin dinobatkan sebagai pemenang pencarian hos ini. Pemenang ini telah diumumkan secara langsung di program bual bicara Mingguan Wanita yang bersiaran di Astro Prima dan Prim HD sebentar tadi.

Seramai 9 orang finalis bersaing bagi merebut gelaran pemenang pencarian ini. Selain Syakirin dan Kamalia, Nisa Kay, Farah Anuar, Alin Kamarudin, Shazwani, Atiqah Nabila, Mia Sara serta Alia Ajeerah turut bersama sebagai Finalis Top 9.

Pencarian Hos Mingguan Wanita talk show ini bermula dengan sesi ujibakat yang telah diadakan di Bangunan Ideaktiv, Shah Alam pada 16 dan 23 Februari 2019. Seramai lebih 300 orang peserta mencuba nasib bagi merebut tempat sebagai Finalis Top 9.

Barisan juri yang diketuai oleh Datuk Aznil Hj Nawawi serta Cik Puan Shafinaz, Dang Suria, Editor Mingguan Wanita serta pihak produksi Mingguan Wanita sebulat suara menyenarai pendek seramai 20 orang peserta sebelum memilih 9 orang sebagai finalis.

Setiap finalis telah diberi tugasan menjadi wartawan lokasi bagi membuat liputan mengenai tugasan yang diberikan. Antara tugasan mereka ialah Pemandu Lori Sampah Wanita (Nisa Kay), Serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (Farah Diana), Askar Wataniah Wanita (Alin), Penjara Tirai Besi (Shazwani), Wanita Ekstrem (Kamalia), Penjaga Zoo Wanita (Atiqah), Kebudayaan Orang Asli (Syakirin), Wanita dan Bomba (Miasara) dan Penyelam Wanita (Alia).

Sebagai kesinambungan tugasan ini, setiap finalis ini juga perlu menemuramah tetamu jemputan secara langsung di set Mingguan Wanita Talk Show.

Menurut Datuk Aznil atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil, kesemua finalis Top 9 ini sudah bersedia untuk menjadi hos untuk program-program di kaca televisyen. Masing-masing ada kekuatan dan personaliti tersendiri. Cuma pada kali ini rezeki lebih memihak kepada Syakirin dan Kamalia.

Di samping itu, Farah Diana Anuar pula dipilih sebagai Hos Favourite melalui undian yang dijalankan secara atas talian. Farah yang juga bekas peserta program realiti tv menerima undian sebanyak 20.7% di ikuti dengan Syakirin (19.3%), Atiqah (11%), Nisa Kay (10,2%), Alia (9.6%), Shazwani (8.9%), Alin (8.3%), Kamalia (6.3%) dan Miasara (5.6%).

Mengulas lanjut mengenai penganjuran Pencarian Hos Mingguan Wanita Talkshow ini, Laila selaku Editor Mingguan Wanita amat teruja dengan penerimaan dan sambutan daripada wanita-wanita di luar sana yang ingin menonjolkan bakat mereka dalam dunia penyiaran.

“Bermula sesi ujibakat, kami tidak menyangka menerima lebih daripada 300 orang peserta yang berani tampil menunjukkan bakat terpendam mereka. Kami juga menerima banyak pertanyaan dan permintaan untuk menjalankan sesi ujibakat di luar Lembah Klang. Namun, kekangan masa menghadkan kami untuk menjalankan lebih banyak sesi ujibakat ”.

Jenama Mingguan Wanita yang telah berada selama lebih 41 tahun di pasaran ini juga menjadi bukti kandungan yang diberikan masih relevan buat masyarakat Malaysia khususnya kaum wanita. Menurut Kiffy Razak selaku Editor Pengurusan Mingguan Wanita., jenama Mingguan Wanita ini sangat dekat dengan wanita-wanita di Malaysia melalui ramuan kandungan yang dirancang khas bertepatan dengan tagline nya Teman Setiap Wanita.

“Selama lebih 41 tahun jenama Mingguan Wanita dipasaran, ianya banyak berkongsi kisah suka duka wanita dan masyarakat Malaysia. Mingguan Wanita sekarang bukan sahaja sebuah majalah, namun ianya telah mempunyai rancangan bual bicara sendiri, Mingguan Wanita Talkshow yang bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat di Astro Prima dan Prima HD”

Bagi memvariasikan lagi kandungan dalam rancangan ini, kami memerlukan muka baru yang mampu membawa DNA Mingguan Wanita supaya dekat dengan pengikut setia kami. Disebabkan itu, pencarian hos ini dijalan untuk memberi peluang wanita di luar sana membutikan mereka mempunyai DNA yang kami inginkan,” ujar beliau lagi.

Sebagai pemenang, Syakirin dan Kamalia membawa pulang loket bertatahkan berlian dan batu permata emas putih 18k bernilai RM 10,000 tajaan Habib berserta sejambak bunga sumbangan Ideaktiv. Manakala Farah Diana yang dipilih sebagai Hos Favourite membawa pulang seutas jam tangan Ice Watch, perkakas elektrik Tefal serta sejambak bunga.

Bagi Syakirin, beliau mengganggap kemenangan ini sebagai rezeki buat anak beliau tyang baru dilahirkan pada tahun lepas.

Inilah kali pertama Syakirin menang dalam pertandingan yang Syakirin sertai selama 8 tahun. Syakirin anggap kemenangan ini juga adalah rezeki buat anak Syakirin yang baru dilahirkan tujuh bulan lepas,” ujar Syakirin semasa ditemui selepas tamat siaran program itu tadi.

Menurut Kamalia pula, beliau mahu membawa sedikit kelainan kepada program bual bicara ini kelak melalui gaya penyampaian beliau yang tersendiri.

Jika diberi peluang untuk menjadi hos program Mingguan Wanita ini, Kamalia akan tonjolkan sedikit kelainan dengan memberi lebih fresh dan lebih dekat kepada semua golongan wanita di luar sana”, ujar Kamilia di akhir rancangan.