TRANSFORMASI KARANGKRAF, TAMPIL LOGO BAHARU, LEBIH SEGAR DAN MODEN

Hampir separuh abad dikenali nama Kumpulan Karangkraf, sebuah syarikat penerbitan, percetakan dan media terkemuka negara, kini tampil dengan identiti baharu, iaitu Karangkraf.

Langkah penjenamaan semula berkenaan bukan sekadar perubahan nama tetapi mencerminkan semangat baharu, strategi lebih segar dan arah tuju yang lebih dinamik dalam mendepani cabaran industri media dan penerbitan masa kini.

Logo ini direka bentuk berasaskan nilai-nilai teras seperti integriti, inovasi, keterangkuman dan keberanian, serta menampilkan identiti visual yang moden dan dinamik yang mencerminkan semangat kami untuk terus maju.

Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata :

“Penjenamaan semula ini adalah langkah strategik untuk menyelaraskan identiti korporat kami dengan realiti semasa industri dan aspirasi masa depan. Dalam era digital yang pantas berubah, kami perlu kekal relevan, tangkas dan berdaya saing. Ia juga mencerminkan evolusi Karangkraf daripada sebuah syarikat penerbitan tradisional kepada sebuah ekosistem kandungan dan impak sosial yang lebih menyeluruh’’

Ikuti temubual eksklusif Sinar Harian bersama Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin yang berkongsi inspirasi di sebalik penjenamaan semula berkenaan.

TRANSFORMASI KARANGKRAF, TAMPIL LOGO BAHARU, LEBIH SEGAR DAN MODEN

SINAR HARIAN: Apakah justifikasi strategik di sebalik keputusan untuk melaksanakan penjenamaan semula Karangkraf pada ketika ini?

PUAN FIRDAUS: Karangkraf kini sudah 47 tahun dan tidak lama lagi 50 tahun. Ini bermakna hampir separuh abad, maka kita perlukan pembaharuan dari segi logo termasuklah pembaca baru. Jadi kita dalam proses meremajakan Karangkraf sendiri.

Selain itu, penjenamaan semula ini adalah langkah strategik untuk menyelaraskan identiti korporat kami dengan realiti semasa industri dan aspirasi masa depan. Dalam era digital yang pantas berubah, kami perlu kekal relevan, tangkas dan berdaya saing. Ia juga mencerminkan evolusi Karangkraf daripada sebuah syarikat penerbitan tradisional kepada sebuah ekosistem kandungan dan impak sosial yang lebih menyeluruh.

SINAR HARIAN: Mengapa hanya nama Karangkraf dikekalkan dalam penjenamaan
baharu ini, dan bukan Kumpulan Karangkraf?

PUAN FIRDAUS: Nama Karangkraf mempunyai nilai sentimental dan kekuatan jenama yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia ringkas, mudah diingati dan membawa warisan 47 tahun kami. Dengan mengekalkan nama ini sahaja, kami ingin menampilkan imej yang lebih segar, moden dan inklusif, tanpa mengorbankan identiti asal kami. Dalam masa sama ia lebih mudah, relevan dan orang akan sentiasa ingat sebab menggunakan satu perkataan sahaja, sesuai dengan zaman yang serba moden kini.

SINAR HARIAN: Boleh puan kongsikan nilai teras dan mesej utama yang ingin
disampaikan melalui logo serta identiti visual baharu Karangkraf?

PUAN FIRDAUS: Melihat dari segi identiti visual baru Karangkraf ia lebih moden, segar, bersemangat dan jadi lebih dinamik. Bermakna kita berubah mengikut peredaran zaman sebab kita ingin menarik perhatian pasaran yang lebih muda, jadi kita mesti berubah mengikut apa yang digemari oleh golongan berkenaan.

Logo baharu kami ini juga menekankan nilai-nilai teras seperti integriti, inovasi, keterangkuman dan keberanian. Reka bentuknya moden dan dinamik, mencerminkan semangat kami untuk terus maju ke hadapan. Warna dan tipografi pula dipilih untuk menggambarkan keterbukaan, profesionalisme dan komitmen terhadap perubahan positif.

SINAR HARIAN: Apakah transformasi utama yang boleh dijangkakan dari segi hala tuju korporat, penawaran produk, serta peranan sosial syarikat?

PUAN FIRDAUS: Kami akan hasilkan produk-produk yang menepati citarasa pembaca terkini, bukan yang syok sendiri dengan memperluas penawaran digital, memperkukuh kandungan berimpak tinggi dan memperluas kerjasama strategik. Dari segi sosial, kami akan terus menjadi suara rakyat melalui inisiatif seperti Rasuah Busters dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Hala tuju kami kini lebih berfokus kepada impak, bukan sekadar penerbitan.

SINAR HARIAN: Sepanjang proses penjenamaan semula ini, apakah cabaran paling signifikan yang dihadapi oleh pihak pengurusan?

PUAN FIRDAUS: Cabaran utama ialah memastikan semua pihak berkepentingan memahami dan menyokong perubahan ini termasuklah pembaca dan pengikut baru kita. Ia melibatkan komunikasi dalaman yang berkesan, pengurusan perubahan budaya kerja serta penyesuaian operasi agar selari dengan identiti baharu. Namun, semangat warga Karangkraf sangat membantu menjayakan proses ini.

SINAR HARIAN: Bagaimanakah penjenamaan baharu ini dirangka untuk memastikan Karangkraf kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap media dan penerbitan yang kian mencabar?

PUAN FIRDAUS: Kami perlu kekal relevan melalui kecekapan dan kreativiti. Kita ini bukan “sprinter” yang lari laju tetapi cepat jatuh, sebaliknya seperti pelari maraton yang konsisten dan fokus pada pertumbuhan jangka panjang.

Maka, kami menekankan pendekatan “digital-first” dalam memperkukuh kehadiran dalam platform media sosial, serta memanfaatkan teknologi untuk penyampaian kandungan yang lebih interaktif dan bersasar. Penjenamaan ini juga membuka ruang untuk kolaborasi rentas industri dan inovasi dalam penyampaian mesej.

TRANSFORMASI KARANGKRAF, TAMPIL LOGO BAHARU, LEBIH SEGAR DAN MODEN

SINAR HARIAN: Daripada perspektif Puan, apakah impak paling besar yang telah dicapai oleh Karangkraf dalam menyumbang kepada masyarakat dan industri sepanjang 47 tahun penubuhannya?

PUAN FIRDAUS: Karangkraf telah menjadi suara rakyat, pemangkin perubahan sosial dan pelopor dalam penerbitan Islamik serta kandungan beretika melalui buku-buku yang kita terbitkan. Kami bukan sekadar menerbitkan bahan bacaan, tetapi membina kesedaran, menyemai nilai dan memperjuangkan kebenaran. Itulah legasi yang paling kami banggakan. Kita sampaikan berita yang tulus dan telus sebab tu ia boleh menyentuh hati dan perasaan rakyat Malaysia.

SINAR HARIAN: Apakah maklum balas awal yang diterima daripada warga kerja Karangkraf serta rakan strategik terhadap identiti baharu ini?

PUAN FIRDAUS: Sebenarnya kita belum membuat hebahan sepenuhnya mengenainya, bagaimanapun ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ada yang perasan logo baharu kita. Mereka maklumkan logo kita lebih segar, berdaya saing malah ikut trend semasa. Kita akui, maklum balas yang diterima sangat positif. Warga kerja berasa lebih bersemangat dan bangga dengan wajah baharu ini. Rakan strategik pula melihatnya sebagai satu langkah progresif yang menunjukkan kesediaan Karangkraf untuk terus menjadi peneraju dalam industri kandungan dan impak sosial.

TRANSFORMASI KARANGKRAF, TAMPIL LOGO BAHARU, LEBIH SEGAR DAN MODEN

SINAR HARIAN: Bagaimana Puan melihat penjenamaan baharu ini mencerminkan
aspirasi dan visi jangka panjang Karangkraf?

PUAN FIRDAUS: Bagi saya, cabaran utama adalah untuk terus bertahan. Oleh itu, kita perlu memastikan segala yang dilakukan adalah efisien, terutamanya dari segi pengurusan kewangan dan emosi. Dengan langkah penjenamaan semula, ia menunjukkan bahawa kita bersedia dari semua aspek untuk terus kekal relevan pada masa hadapan.

Penjenamaan ini mencerminkan visi kami untuk menjadi sebuah organisasi kandungan dan impak sosial yang berpengaruh di peringkat nasional dan global. Ia melambangkan aspirasi kami untuk terus berkembang, memberi nilai, dan menjadi pemangkin perubahan dalam masyarakat.

SINAR HARIAN: Dalam era digital dan generasi baharu yang serba pantas, bagaimana Karangkraf merancang untuk mengekalkan pengaruh dan daya tarikan
terhadap khalayak muda?

PUAN FIRDAUS: Penjenamaan semula kali ini bertujuan untuk menarik minat pasaran muda. Jika sebelum ini audien kita terdiri daripada generasi terdahulu mungkin ibu bapa atau nenek kita, sekarang kita perlu bergerak seiring dengan perubahan generasi.

Kini, fokus kita adalah untuk mendekati golongan muda dengan menghasilkan lebih banyak produk, terutamanya untuk kanak-kanak. Bahagian buku kanak-kanak akan menjadi asas untuk membina hubungan jangka panjang daripada kanak-kanak, remaja hingga dewasa.

Kami akan terus menghasilkan kandungan yang relevan, autentik dan mudah diakses oleh generasi muda. Pendekatan kami lebih bersifat dua hala, melibatkan komuniti dan memanfaatkan platform digital serta teknologi baharu untuk menyampaikan mesej dengan cara yang lebih menarik dan bermakna.

SINAR HARIAN: Adakah penjenamaan semula ini turut memperkukuh komitmen Karangkraf terhadap inisiatif sosial seperti Rasuah Busters, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan lain-lain?

PUAN FIRDAUS: Penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan visual, tetapi juga usaha untuk mengukuhkan nilai dan mesej yang kami bawa melalui inisiatif CSR kami. Sama ada melalui Rasuah Busters atau Warisan Rumah Ikhlas yang memberi fokus kepada pembelajaran al-Quran, setiap program ini mencerminkan komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial.

Logo baharu mungkin tidak menjamin perubahan serta-merta, tetapi ia memberi peluang kepada pengikut baru contohnya, kalau dahulu pembelajaran al-Quran hanya tertumpu pada segmen tertentu, kini kami mahu mendekati kanak-kanak sejak awal lagi melalui produk bacaan seperti buku kanak-kanak dan bahan pendidikan yang sesuai dengan usia mereka.

Kami percaya bahawa perniagaan yang berjaya ialah perniagaan yang memberi kembali kepada masyarakat dan memperjuangkan nilai-nilai murni.

SINAR HARIAN: Akhir sekali, apakah harapan Puan terhadap penerimaan masyarakat terhadap wajah baharu Karangkraf dan apakah mesej utama Puan kepada seluruh warga Karangkraf dalam menghadapi fasa transformasi ini?

PUAN FIRDAUS: Untuk terus bertahan dan kekal relevan selepas hampir lima dekad, sesebuah syarikat memerlukan kekuatan dan kesabaran. Perubahan perlu dilakukan agar seiring dengan kehendak semasa jika tidak, kita akan ketinggalan. Fokus kita bukan lagi hanya kepada pembaca lama, tetapi juga kepada generasi muda, terutama kanak-kanak, agar mereka turut bersama dalam perjalanan ini.

Saya berharap masyarakat akan menerima wajah baharu Karangkraf dengan hati terbuka dan terus menyokong perjuangan kami. Kepada warga Karangkraf, saya ingin ucapkan terima kasih atas dedikasi dan semangat yang luar biasa. Bersama-sama, kita akan terus mencipta impak dan membina masa depan yang lebih gemilang untuk 50 tahun lagi.